Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera Pertamanya, ayahanda ingin mengucapkan rasa kesyukuran kerana kita masih diberi peluang untuk membuka lembaran baru hijrah 1431 dan tahun baru 2010. Selamat kembali ke teratak kedua anakanda sekalian. Ayahanda amat merindui anakanda semua. Diharap anakanda sekalian telah memenuhi cuti semester yang lepas dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Sebelum ayahanda memulakan bicara, ayahanda ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada anakanda yang yang telah berjaya dengan cemerlang pada semester yang lepas. Semoga kejayaan yang anakanda kecapi akan menjadi titik permulaan untuk anakanda terus berjaya di masa akan datang. Kepada anakanda yang kurang bernasib baik, tingkatkan usaha, biar rebah jangan berubah. Ingatlah wahai anakanda, di mana ada kemahuan, di ditu ada jalan, anakanda mampu melakukannya.
Sekembalinya anakanda sekalian ke Kolej Tiga Belas, pasanglah niat dan berhijrahlah kepada yang lebih baik untuk semester yang baru ini. Kembalilah dengan semangat yang baru agar anakanda menjadi mahasiswa yang lebih unggul, menyerlah dan Berjaya pada semester yang baru ini. Belum terlambat kiranya ayahanda mengucapkan selamat datang kepada pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana, terutamanya kepada pelajar lepasan Asasi Sains Pertanian. Semoga semester yang baru ini dapat menaikkan semangat anakanda untuk menuntut ilmu dalam suasana kolej yang lebih kondusif dan efektif dalam usaha anakanda sekalian untuk mengecapi cita-cita anakanda masing-masing.
Selain itu, tahniah juga ayahanda ucapkan di atas pelantikan baru ahli Majlis Tertinggi Mahasiswa(MTM) Kolej Tiga Belas bagi sesi 2009/2010 yang kini memegang tampuk kepemimpinan pelajar-pelajar Kolej Tiga Belas. Di harap semua ahli MTM yang baru dapat menjalankan tugas dengan baik dan penuh bertanggungjawab dalam memastikan Kolej Tiga Belas terus maju dari aspek kebajikan, akademik, dan kesahsiaan pelajar.
Akhir kata, ayahanda berharap agar anakanda sekalian dapat memberi kerjasama kepada ahli MTM dalam semua rencana yang telah dirancang pada semester kali ini dan seterusnya anakanda dapat merealisasikan visi dan misi Kolej Tiga Belas yang tercinta ini.
Sekian. Dr. Arifin Abdu Pengetua Kolej Tiga Belas, Universiti Putra Malaysia |